LEMBAGA PENYATUAN DAN PEMULIHAN TANAH PERSEKUTUAN ataupun
FEDERAL LAND CONSOLIDATED AND REHABILITATION AUTHORITY (FELCRA) telah ditubuhkan pada tahun 1966. Matlamat utamanya adalah bagi membangunkan sektor luar bandar melalui program-program pertanian dan pada masa yang sama membantu penduduk luar bandar menyertai aktiviti-aktiviti ekonomi negara dan seterusnya meningkatkan taraf hidup dan nilai kehidupan mereka.
Mulai 1 September 1997, FELCRA telah dikorporatkan, dan namanya telah ditukar dari FELCRA kepada FELCRA Berhad dan statusnya telah bertukar dari sebuah Badan Berkanun kepada sebuah syarikat milik penuh Kerajaan.
Penukaran entiti korporat ini membolehkan FELCRA Berhad menyusuri bidang perniagaan yang baru selaras dengan aspirasi pembangunan nasional. Berbekalkan kemahiran dalam bidang pembangunan serta pengurusan ladang beserta aktiviti-aktiviti sokongan pembangunan ladang, FELCRA Berhad kini sedang mempelbagaikan bidang kegiatannya bagi menyertai sektor perindustrian dan perkhidmatan serta bidang perniagaan yang sedang berkembang.
FELCRA Berhad berhasrat untuk menjadi sebuah konglomerat yang berjaya di samping membangunkan sektor luar bandar agar menjadi lebih dinamik, menarik dan menguntungkan selaras dengan strategi operasi berimbangnya di antara program berorientasikan keuntungan dan program obligasi sosial.
Semenjak penubuhannya FELCRA telah diterajui oleh 3 orang Ketua Pengarah ataupun "
KP" dan 4 orang Ketua Pegawai Eksekutif ataupun
"CEO". Mereka-mereka yang terlibat mambangunkan FELCRA adalah
- YBhg Dato' Hj Akasah Hj Abdul Rahman (16 Ogos 1971 - 31 Mac 1976)
- YBhg Tuan Haji Kamaruzzaman Abdul Halim (1 April 1976 - 31 Mac 1981)
- YBhg Dato' Mustafa Juman (1 April 1981 - 12 November 1997)
- YBhg Dato' Hj Ariff Ariffin (31 November 1997 - 1 November 2001)
- YBhg Tuan Hj Ashaari Hj Yusoff (2 November 2001 - 31 Disember 2003)
- YBhg Dato' Hj Abdul Rahman Hj Daud (1 Januari 2003 - 7 Julai 2007)
- YBhg Dato' Hj Mohd Nasir Baba (8 Julai 2007 - sekarang)